Daripada Aisyah RAnha (Radhiallahu Anha) berkata (maksudnya): Saya didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.
Maka, saya memberikannya tiga biji kurma. Perempuan itu memberikan setiap seorang daripada kedua-duanya (anak-anaknya) masing-masing sebiji kurma dan sebiji lagi diangkat ke mulutnya untuk dimakan.
Namun dua anaknya itu meminta agar yang sebiji kurma itu dimakan juga oleh mereka.
Maka, perempuan itu membelah dua kurma yang hendak dimakan dan diberikan kepada dua anaknya.
Keadaan perempuan itu membuatkan saya hairan. Maka, saya memberitahukan apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu kepada Rasulullah SAW.
Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya, Allah telah menetapkan bagi perempuan itu akan masuk syurga kerana perbuatannya atau Allah akan memerdekakannya dari neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)
PENJELASAN
Hadis ini mengandungi keutamaan mementingkan orang lain berbanding diri sendiri, menyayangi anak-anak kecil, berbuat kebaikan dan bersikap lemah-lembut yang lebih kepada anak perempuan. Semua itu menjadi penyebab masuk syurga dan bebas dari neraka.
Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229 & 230