Tag: perempuan

  • Lelaki jangan membenci perempuan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang mukmin (lelaki beriman) jangan membenci seorang mukminah (perempuan beriman) jika ada suatu pekerti perempuan itu yang dia tidak sukai, sedangkan (ada yang) dia sukai daripadanya (daripada budi pekerti) yang lain. Atau baginda bersabda: (Budi pekerti) yang lainnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan (Arab) “yafrak” dalam teks hadis ini diterjemahkan sebagai “membenci”. Dikatakan, perempuan membenci suaminya dan suami membenci isterinya. Wallahu a’lam.

    Seorang lelaki beriman tidak harus membenci isterinya yang beriman hanya kerana mendapati suatu pekerti (perangai, sikap) yang tidak disukainya, sebab ada budi pekerti yang dia sukai seperti memelihara diri, membantu dan sebagainya.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 233

  • Dosa mensia-siakan anak yatim dan perempuan

    Daripada Abu Syuraih Khuwailid bin Amru al-Khuza’ie berkata: Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allahumma (Ya Allah), sesungguhnya saya memandang berat dosa mensia-siakan hak dua golongan lemah, (iaitu) anak yatim dan perempuan. (Hadis status hasan diriwayatkan oleh an-Nasai, dengan sanad yang baik)

    PENJELASAN

    Sesungguhnya Nabi SAW menganggap berat hak anak yatim dan perempuan, kerana kedua-duanya tidak mempunyai kekuatan dan tidak ada tempat berlindung melainkan Allah.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 230

  • Anak perempuan tabir daripada seksaan api neraka

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Seorang perempuan datang ke tempat saya dan bersamanya dua anak perempuannya.

    Dia (perempuan itu) bertanya (meminta) tetapi tiada suatu apa pun pada saya melainkan sebiji kurma saja. Maka, saya memberikannya (sebiji kurma itu) kepadanya. Maka, dia membahagikannya (sebiji kurma itu) kepada kedua-dua anaknya itu, dan dia sendiri tidak makan daripadanya (kurma itu). Kemudian, dia berdiri, lalu keluar.

    Maka, Nabi SAW datang ke tempat kami. Maka, saya beritahu kepadanya (mengenai kejadian itu).

    Maka, baginda bersabda: Sesiapa yang diberikan suatu cubaan daripada anak-anak perempuan seperti ini, maka dia berbuat baik kepada mereka, anak-anak perempuan itu akan menjadi tabir untuknya daripada seksaan neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229

  • Keutamaan mencukupi nafkah anak perempuan

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa mencukupi nafkah dua anak perempuan sampai kedua-duanya menginjak usia baligh, maka kelak dia datang pada hari kiamat, saya dan dia seperti kedua-dua jari ini. Dan baginda mengumpulkan jari-jarinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 228