Tag: kiamat

  • Nabi ditanya Jibril mengenai iman, kiamat

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada suatu hari Rasulullah keluar menemui orang ramai. Tiba-tiba datanglah seorang Badwi bertanya mengenai iman, dan seterusnya hingga akhirnya orang itu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah datangnya hari kiamat?

    Baginda menjawab: Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi akan aku ceritakan kepadamu syarat-syaratnya, iaitu apabila hamba wanita telah melahirkan tuannya sendiri, dan apabila orang-orang (yang asalnya) tanpa alas kaki, telanjang, miskin, pengembala kambing telah menjadi pemimpin rakyat. Itulah sebahagian daripada syarat-syarat datangnya kiamat, antara lima syarat lain, yang hanya diketahui oleh Allah.

    Kemudian baginda membaca ayat (yang bermaksud): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya. (Surah Luqman, ayat 34)

    Kemudian lelaki itu pun pergi.

    Baginda bersabda: Suruhlah dia kembali.

    Tetapi para sahabat tidak melihat apa-apa.

    Baginda menerangkan: Orang tadi adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar manusia mengenai agama mereka. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim dalam as-sahihain – dua kitab sahih)

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 156

  • 6 petanda menjelang kiamat

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim diriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara syarat-syarat terjadi kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kebodohan, berleluasa perzinaan, banyak minum arak, sedikit lelaki dan ramai wanita, sehingga lima puluh wanita menjadi tanggungan seorang lelaki.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 154

  • Dajjal di sebelah timur

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Amr bin Huraib, ketika Abu Bakar as-Siddiq sembuh daripada suatu penyakit yang dideritainya. Dia keluar menemui khalayak meminta maaf atas sesuatu, lalu berkata: “Kami hanya menginginkan kebaikan.”

    Selepas itu dia berkata: Rasulullah pernah bercerita kepada kami (ertinya): “Sesungguhnya dajjal akan keluar di suatu negeri di sebelah timur, yang disebut Khurasan. Dia akan diikuti bangsa-bangsa berwajah (penampilan) bagaikan perisai yang ditempa.”

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 93

  • Nabi Isa bunuh dajjal

    Muslim bin Hajjaj, daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

    Kiamat takkan terjadi sehingga bangsa Rom singgah di Al-A’maq atau di Dabiq. Lalu mereka diserbu oleh tentera dari Madinah yang merupakan penduduk dunia yang terbaik waktu itu. Apabila mereka telah berbaris rapi, maka berkatalah orang-orang Rom: Biarkan kami berperang melawan orang-orang yang telah menawan orang-orang kami. Jawab Muslimin:  Demi Allah, kami takkan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka, Muslimin pun menyerbu mereka, lalu ada satu pertiganya yang mundur. Mereka takkan diterima taubatnya oleh Allah SWT selamanya. Ada satu pertiga lagi yang terbunuh, mereka adalah syuhada (orang syahid) yang terbaik di sisi Allah SWT. Sedang satu pertiga yang lain mendapat kemenangan.  Mereka takkan mendapat bencana selama-lamanya. Merekalah yang dapat menakluki Konstantinopel. Namun ketika mereka membahagi-bahagi harta rampasan perang, sementara pedang-pedang mereka digantungkan di pokok zaitun, tiba-tiba syaitan berteriak kepada mereka, bahawa dajjal telah menguasai, menyerang keluarga mereka. Oleh kerana itu mereka pun keluar, padahal itu semua tidak benar. Lalu tatkala mereka memasuki negeri Syam, ternyata dajjal telah keluar (pergi). Tatkala mereka bersiap sedia untuk berperang dan merapatkan barisan, tiba-tiba dikumandangkan iqamatus-solah. Maka, turunlah Nabi Isa bin Maryam, lalu mengimami mereka. Apabila musuh Allah itu melihat Nabi Isa, maka dia meleleh seperti lelehnya garam dalam air. Andaikan dia dibiarkan, tentu akan benar-benar meleleh sehingga mati. Tetapi Allah membunuh dia dengan tangan Nabi Isa. Lalu, nabi Allah itu memperlihatkan kepada Muslimin darah dajjal pada tombak yang dipegangnya.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 66/67

  • Perintah Rasulullah agar segera melakukan amalan soleh sebelum terjadi 6 peristiwa

    Menurut riwayat Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    Cepat-cepatlah kamu sekalian melakukan amalan (soleh) sebelum datang 6 peristiwa; terbit matahari dari barat, datang dajjal, muncul asap, muncul binatang melata dari dalam bumi, kematian setiap kamu sekalian dan perkara umum (hari kiamat).

    Qatadah berkata: Apabila Rasul mengatakan ‘perkara umum’ maka yang dimaksudkan ialah perkara kiamat.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 62

  • Sebaik-baik ungkapan, sebaik-baik petunjuk

    Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat.

    Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah — dalam hadis tersebut terdapat ungkapan: “Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup dan melihat perbezaan yang banyak, maka tetaplah mengikuti sunahku…”

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163-164