Daripada Jabir RA berkata: Bani Salimah berkehendak untuk berpindah tempat dekat masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, kemudian baginda bersabda kepada Bani Salimah: Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa kamu semua hendak berpindah dekat masjid?
Mereka menjawab: Benar, wahai Rasulullah, kami menghendaki demikian.
Baginda bersabda: Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumah kamu sahaja, akan dicatat langkah-langkah kamu. Tetaplah di rumah-rumah kamu saja, akan dicatat langkah-langkah kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)
Dalam riwayat lain disebutkan: Sesungguhnya setiap langkah itu (dihitung) satu darjat.
Imam al-Bukhari meriwayatkan pula dengan pengertian yang semakna dengan yang di atas, daripada riwayat Anas RA.
PENJELASAN
Bani Salimah adalah kabilah yang terkenal daripada sahabat Ansar.
Hadis ini mengandungi keutamaan berjalan menuju masjid, merupakan kebaikan yang ditulis (pahala) bagi pelakunya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah bermaksud: “Dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.” (Surah Yasin, 12)
Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 135