Keutamaan solat Subuh

Daripada Jundub bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa melakukan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, jangan sampai Allah menuntut kepada kamu dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, kerana sesungguhnya orang yang dituntut oleh Allah dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, tentu Dia akan mendapatkannya. Kemudian, Allah akan melemparkan mukanya ke dalam neraka jahanam. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

PENJELASAN

Perkataan “dzimmatillah” dalam (teks Arab) hadis itu diterjemahkan sebagai jaminan keamanan daripada Allah dan janji-Nya.

Dalam riwayat lain disebutkan: “Sesiapa melakukan solat Subuh berjemaah”, seakan-akan solat Subuh dikhususkan dengan hal itu, kerana waktu subuh merupakan permulaan hari, yakni waktu permulaan orang bertebaran memenuhi keperluan mereka.

Hadis ini mengandungi ancaman keras kepada orang yang berniat buruk kepada orang-orang yang melakukan solat.

Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 206