Syafaat Mukmin membawa ke syurga

Menurut riwayat at-Tirmidzi dan al-Baihaqi: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

Sesungguhnya antara umatku ada beberapa orang, yang seorang antaranya boleh memberi syafaat kepada sejumlah besar manusia, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada pula antaranya yang memberi syafaat kepada satu kabilah, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada lagi yang memberi syafaat kepada seseorang dan ahli keluarganya, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya.

Al-Bazzar meriwayatkan dengan sanadnya secara marfu’: Sesungguhnya seseorang benar-benar boleh memberi syafaat kepada dua atau tiga orang.

Ada sesetengah ulama menceritakan dalam kitab Zabur Nabi Daud tertulis firman Allah maksudnya:

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang zuhud, pada hari kiamat akan Aku katakan kepada mereka: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku menjauhkan dunia daripadamu, bukanlah kerana kerendahanmu di sisi-Ku, tetapi kerana Aku ingin kamu memperoleh bahagianmu melimpah ruah sepenuhnya pada hari ini. Oleh kerana itu, masuklah kamu ke celah-celah barisan, dan carilah sesiapa yang dulu kamu cintai di dunia atau pernah memenuhi hajatmu atau mencegah orang mempergunjingkan (mengata, memfitnah) dirimu atau pernah memberimu sesuap makanan kerana mengharapkan reda-Ku, maka bimbinglah tangannya dan masukkan dia ke dalam syurga.”

Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 450 & 451