Tag: isteri

  • “Jangan kamu menyakiti dia”

    Daripada Muaz bin Jabal RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isteri suami itu daripada bidadari yang membelalak matanya berkata jangan kamu menyakiti dia, kamu dibinasakan oleh Allah. Dia (suami) di dunia hanya sebagai tamu bagimu yang hampir sekali akan berpisah denganmu untuk menemui kami. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Perkataan Arab “ad-dakhil” dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai tamu dan pengunjung. Suami diibaratkan dengan tamu kerana masa tinggal di dunia meskipun lama sebenarnya hanya sebentar dibandingkan dengan di akhirat yang tiada batas waktunya.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 239

  • Suami reda, isteri masuk syurga

    Daripada Ummu Salamah RAnha berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa saja perempuan yang meninggal dunia, dan suami reda ke atasnya, dia (perempuan itu) masuk syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar seorang isteri berusaha melakukan suatu yang diredai oleh suami dan menjauhi hal yang membuatkan suami marah, agar kelak mendapat syurga.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 238/239

  • Betapa agung hak suami

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya saya memerintahkan seseorang supaya bersujud kepada seseorang nescaya saya memerintahkan perempuan (isteri) supaya bersujud kepada suaminya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis [status] hasan sahih)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan oleh Abu Dawud, daripada Qais bin Sa’d berkata: Saya pernah datang ke daerah Hirah, ternyata saya melihat penduduknya bersujud kepada pasukan berkuda pemberani di antara mereka, lalu saya berkata: “Mestinya Rasulullah yang lebih berhak dijadikan objek sujud.” Selanjutnya saya datang menghadap Rasulullah SAW dan saya berkata: “Sungguh, saya pernah datang ke daerah Hirah, lalu saya lihat penduduknya bersujud kepada pasukan berkuda pemberani di antara mereka, padahal mestinya anda yang lebih berhak dijadikan objek sujud.”

    Baginda bersabda: “Bagaimana pendapatmu, seandainya kamu melewati kuburanku, apakah kamu akan bersujud kepadaku?”

    Qais menjawab: “Tidak.”

    Nabi bersabda: “Maka, jangan lakukan hal itu. Sekiranya saya memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya memerintahkan isteri bersujud kepada suaminya.” — Ini (dikatakan) latar belakang kepada hadis di atas.

    Hadis ini mengandungi dalil mengenai mengagungkan hak suami.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 238

  • Memenuhi keperluan suami

    Daripada Abu Ali Thalq bin Ali RA, daripada Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang suami mengajak isterinya bagi (memenuhi) keperluannya, maka dia (isteri) perlu mendatanginya (menerimanya), meskipun pada saat itu isteri ada di dapur. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Nasai — Tirmidzi berkata, hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini sebagai dalil atas kewajipan mentaati suami dan lebih mendahulukan kepentingan suami daripada kesibukannya sendiri.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 238

  • Malaikat melaknati isteri tidak memenuhi ajakan suami

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila suami mengajak wanitanya (isterinya) ke tempat tidurnya namun isteri tidak memenuhi ajakannya, maka suami menjadi marah terhadap isteri, malaikat melaknat isteri sampai pagi. (Muttafaq alaih — sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 236

  • Sebaik-baik perhiasan dunia

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah perempuan (atau diterjemahkan sebagai isteri) solehah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 236