Suasana syurga

Abu Bakar al-Bazzar meriwayatkan: Bahawa perawi hadis ini mendengar Usamah bin Zaid RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: Tidakkah (kamu sekalian) segera bersiap sedia menuju syurga? Sesungguhnya syurga tidak ada bandingnya. Demi Zat Pemelihara Kaabah, syurga itu bercahaya gemerlap, berbau harum semerbak, (berisi) gedung yang kukuh, sungai yang mengalir, buah yang matang, isteri yang cantik jelita, pakaian-pakaian yang banyak, (tinggal) di tempat yang abadi, di negeri yang damai, (di mana terdapat) buah-buahan, sayur-sayuran, tetangga dan kenikmatan, di tempat yang tinggi megah. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami segera bersiap sedia menuju syurga. Rasul bersabda: Kalau begitu, ucapkanlah In-sya-Allah. Maka mereka pun mengucapkan In-Sya-Allah.

Al-Bazzar mengatakan: Untuk hadis ini kami hanya mengetahui jalur sanad ini saja.

Dalam hadis diriwayatkan secara marfu’ oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah: Daripada Abu Hurairah, bahawa: Tanah syurga itu putih, halamannya kapur-kapur barus, dikelilingi kasturi bagaikan tompokan-tompokan pasir. Di sana terdapat sungai-sungai yang mengalir. Para penghuni syurga berkumpul di sana. Mereka saling berkenalan. Maka, dikirim oleh Allah angin rahmat, menyebabkan tersebarnya kepada mereka bau kasturi. Ketika seseorang pulang kepada isterinya, dia benar-benar telah bertambah tampan dan harum, sehingga isterinya berkata kepadanya: Sesungguhnya ketika kamu keluar dariku tadi, aku kagum kepadamu, tapi sekarang aku lebih kagum lagi kepadamu.

Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 544-546