Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suatu ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan. Dia berasa sangat haus, lalu dia menemui sebuah sumur. Dia pun turun ke dalam sumur itu dan minum. Selepas itu dia keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya sambil menelan tanah kerana sangat kehausan. Orang itu berkata: Pasti anjing ini telah berasa kehausan sebagaimana yang telah aku rasa tadi.
Dia pun turun lagi ke dalam sumur, lalu memenuhkan sepatunya dengan air, kemudian membawa sepatunya dengan mulutnya, sehingga dia naik dari sumur tadi, lalu dia memberi minum pada anjing terbabit.
Allah berterima kasih pada orang terbabit dan memberikan keampunan padanya.
Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita juga mendapat pahala dengan sebab memberi minum pada haiwan?
Baginda menjawab: (Berbuat baik) kepada setiap makhluk yang bernyawa ada pahalanya. (Muttafaq alaih — hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
PENJELASAN
Hadis ini menjelaskan keutamaan berbuat kebaikan kepada haiwan dan menjadi sebab diampunkan dosa dan masuk syurga.
Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 131